X
Menu
X

NGO MALAYSIA HANTAR BANTUAN BANJIR DI SELATAN THAILAND

NGO MALAYSIA HANTAR BANTUAN BANJIR DI SELATAN THAILAND

KOTA BHARU – Seramai 75 orang sukarelawan Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia (BBNGO) termasuk i-Bantu, IKRAM Health, MyCARE dan MyIKRAM Bikers telah menjayakan misi menghantar bantuan banjir ke wilayah Nakhon Si Thammarat, selatan Thailand pada 12-14 Januari lalu.

Dalam Misi Bantuan Bencana Banjir NGO 2017 Malaysia-Thailand, NGO dan badan-badan lain yang terlibat dalam misi ini antaranya Kuwak4u, KEMAHANGcare, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), RTM, ISUZU, MESRA, MKB, Al Salam Institute (Thailand), PKB, Pusat Perubatan Sains USM (PPSUSM), CROCS4x4, KEK4x4, Maherian dan MRA.

Diketuai Prof Dr Dinsuhaimi Sidek, Pengerusi BBNGO bersama-sama 15 buah kenderaan pacuan empat roda yang membawa lebih 400 pek bantuan makanan ke kawasan terjejas dan RM60,000 wang sumbangan, misi ini turut menyediakan kit kebersihan untuk mangsa banjir, pemeriksaan kesihatan dan juga khidmat mencuci kawasan.

Sukarelawan misi bertolak pada petang Khamis, 12 Januari tiba di Masjid Al-Furqan, Universiti Fatoni, Pattani pada malamnya dan mereka disambut oleh Muhammad Nasir Habayae, Pengarah Al Salam Institute.

Sebelum menginap di sana, satu majlis ringkas diadakan bagi menyampaikan sumbangan bantuan banjir dan penyerahan jaket rasmi BBNGO serta tandatangan antara Dr Dinsuhaimi dan Pengarah Al Salam menandakan secara rasmi Al Salam Institute sebagai NGO sebagai ahli bersekutu BBNGO.

Pada Jumaat, 13 Januari, pek-pek makanan sumbangan BBNGO telah dibawa ke wilayah paling terjejas banjir, Nakhon Si Thammarat dalam perjalanan selama empat jam dari Pattani. Tiba di Chaloem Phra Kiat District Office di Nakhon Si Thammarat, misi diteruskan di Kampung Ban Nok Wak dengan bantuan sebanyak 100 beg makanan.

Dengan menggunakan bot, sukarelawan misi turut melawat kawasan-kawasan perkampungan yang terjejas teruk dan masih ditenggelami air. Dikhabarkan bahawa 15 daripada 19 buah kampung sekitarnya terjejas teruk akibat banjir.

Misi turut menyerahkan bantuan sebanyak 130 pek makanan dan mengadakan pemeriksaan kesihatan di perkampungan Klong Mai dan berehat pada malamnya di Private Muslim School (PIMS) Tha Sala. Di sana, sumbangan bantuan banjir turut disampaikan dan juga hadiah jaket rasmi BBNGO diserahkan kepada NGO Mukminah.

Pada keesokannya, sukarelawan melawat sekitar Pondok Ban Tan yang telah didirikan oleh keluarga Dr Surin Pitsuwan, bekas Menteri Luar Thailand. Misi bantuan diteruskan dengan menyampaikan 130 pek makanan di Ban Tri Nik Pit.

Mereka turut menyampaikan sejumlah sumbangan, 100 pek makanan, 50 kit kebersihan dan mengadakan aktiviti pembersihan di Sekolah Agama Phatanasat Victoya School, Amphoe Muang Nakhon yang telah ditenggelami air akibat banjir.

Semasa banjir teruk melanda Kelantan pada 2014, beberapa NGO di selatan Thailand turut menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di sana dan kini, giliran NGO Malaysia pula membantu apabila mereka ditimpa ujian.

Semoga usaha murni sebegini dan jalinan muhibah antara dua negara diteruskan pada masa-masa akan datang insya-Allah.

Share
Leave a Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *